Sunday, 10 May 2015
MASA HADAPAN DAN KAJIAN BERKENAAN ICT DALAM PRASEKOLAH
Berdasarkan kajian yang dipetik dari Jurnal Pendidikan Malaysia 36(1)(2011):25-34 bertajuk : Tahap Kesediaan Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Kesannya Terhadap Hasil Kerja dan Tingkah Laku Murid Prasekolah. Tulisan Sharifah Nor Puteh & Kamarl Azman Abd Salam menyebutkan bahawa :
Penggunaan ICT dalam prasekolah bukanlah satu kemestian untuk meningkatkan perkembangan kognitif mereka. Mereka boleh belajar dengan berkesan tanpa penggunaan dan bantuan ICT oleh guru mereka. Hal ini menjadi kelegaan kepada golongan kurang berkemampuan atau yang tinggal dipedalaman yang belum mempunyai kemudahan asas.
Kanak-kanak luar bandar, walaupun tidak didedahkan dengan penggunaan ICT masih boleh belajar melalui pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap perkembangan keupayaan dan kebolehan mereka. Kanak-kanak masih boleh meningkatkan literasi menerusi persekitaran yang kondusif dengan pelbagai aktiviti serta penglibatan aktif mereka.
Tidak dinafikan bahawa ICT berperanan dalam penguasaan ilmu, tetapi gaya pengajaran guru di dalam kelas adalah penyumbang terbesar untuk menjadikan corak pembelajaran yang kreatif, inovatif dan menarik bagi memberi motivasi kepada kanak-kanak. Penggunaan ICT hanya sebagai satu alat yang boleh membantu guru dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (Burnett 2010).
Dapatan kajian juga mendapati bahawa tiada perbezaan tingkah laku murid samada yang mengguna ICT atau tidak. Analisa perlu dibuat dengan melihat semula aspek kesediaan kelas dan pedagogi guru dalam melaksanakan pengajaran. Jika penggunaan komputer dapat dioptimumkan kepada murid dan guru pula pandai mengolah kandungan pelajaran mengikut kesesuaian, nescaya impak penggunaan ICT berada ditahap memberansangkan.
Semua pihak khususnya KPM perlu memastikan aspek kesediaan seperti infrastruktur fizikal sempurna dan lengkap bagi menjamin dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan ICT dalam bilik darjah, serta kemahiran guru perlu dipertingkat melalui latihan dan pendedahan. Semua pihak perlu berganding bahu dalam merealisasikanya terutama dalam menyahut cabaran globalisasi dalam dunia tanpa sempadan yang semakin hebat. Pelaburan jutaan ringgit akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dapat memberi pulangan besar kepada pembangunan Negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment